Thursday, May 15, 2014

Filem Indonesia berunsur Islamik


Institusi Pembangunan Berteraskan Islam dalam aspek sosial boleh dibahagikan kepada media iaitu filem-filem yang mempunyai unsur-unsur islam yang dapat memberikan kesedaran keagamaan terhadap masyarakat. Sebagai sebuah Negara dengan penduduk Islam yang paling ramai di dunia iaitu lebih 200 juta orang maka penerbitan filem-filem bercorak Islamik di Indonesia mendapat sambutan yang cukup baik. Terdapat pelbagai filem islamik yang telah diterbitkan di Indonesia yang mampu memberikan kesedaran sosial kepada masyarat yang menonton. Antara filem islamik yang popular di Indonesia adalah Ayat-ayat Cinta, Ketika Cinta Bertasbih, Sang Pencerah, Hafalan Shalat Delisa dan Perempuan Berkalung Sorban.


Ayat-Ayat Cinta (2008)

Sebuah filem yang mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada Indonesia malahan negara Malaysia itu sendiri. Ia diadaptasikan daripada sebuah novel hasil nukilan Habiburrahman El Shirazy.

Filem ini memfokuskan cinta tetapi jalan cerita yang berunsurkan islamik ini mengisahkan seorang mahasiswa Universiti Al-Azhar, Mesir dan beberapa kenalan wanita yang menaruh hati terhadapnya. Namun lebih daripada itu, kisah ini mempunyai plot naik turun kehidupan dengan tatacara hidup sebagai seorang yang beragama Islam. Ia mengisahkan seorang yang protogonis Islam yang terpaksa menempuh semua halangan dalam hidup sambil mengekalkan kepercayaan Islam yang tulen. Fahri bin Abdilah adalah seorang mahasiswa miskin tetapi intar yang mempunyai biasiswa bagi meneruskan pengajiannya di Universiti Al-Azhar, Mesir. Fahri mengharungi liku-liku kehidupan di Kaherah dan menamatkan pengajiannya disamping menterjemah buku-buku agama. Matlamat Fahri yang belum tercapai adalah berkahwin. Fahri merupakan seorang yang taat dan 'lurus' serta tidak mempercayai konsep hubungan sebelum berkahwin. Kehidupannya berubah setelah dikelilingi oleh empat wanita cantik yang berbeza latar belakang.


Sang Pencerah (2010)

Filem Sang Pencerah ini merupakan sebuah filem yang berlatarbelakangkan soal agama yang tinggi dimana mengenai toleransi dan kerjasama yang berbeza pendapat, kekalutan agama dan kurang semangat untuk berubah. Bagi mendirikan organisasi Muhammadiyah, seorang pemuda membawa perubahan dengan memperkenalkan Islam yang moden, terbuka dan rasional.

Sebaik sahaja pulang dari Mekah, Darwis iaitu insan muda yang menukar namanya menjadi Ahmad Dahlan yang berusia 21 tahun. Dahlam seorang muda yang gelisah atas pelaksanaan syariat Islam yang melencong kearah Bid'ah atau sesat. Bermula dengan surau iaitu Masjid Besar Muhammadiyah, Ahmad Dahlan telah mengubah arah kiblat yang salah dan telah mengakibatkan kemarahan seorang kyai penjaga tradisi di situ. Sehingga surau Ahmad Dahlan dirobohkan kerana dianggap menganuti ajaran sesat. selain itu, Ahmad Dahlan juga dituduh sebagai kyai kafir kerana telah membina sebuah sekolah yang menempatkan pelajarnya dengan kerusi seperti sekolah moden Belanda. Ahmad Dahlan turut dituduh sebagai kyai kejawen kerana rapat dengan persekitaran ulama dan cendekiawan Jawa di Budi Utomo. Tetapi tuduhan yang dilemparkan itu tidak membuatkan pemuda tersebut gentar dengan ditemani isteri tercinta dan lima murid setianya. Ahmad Dahlan membentuk organisasi Muhammadiyah dengan tujuan mendidik umat Islam agar berfikiran maju sesuai dengan perkembangan zaman.


Ketika Cinta Bertasbih (2009)

Filem Ketika Cinta Bertasbih ini merupakan sebuah filem yang diarah oleh Chaerul Umam. Filem ini diadaptasikan daripada novel "best seller" di Indonesia yang ditulis oleh Habiburrahman El Shirazy yang menggunakan tajuk yang sama. Filem ini menjadi filem Indonesia terlaris pada tahun 2009. 
Filem ini mengisahkan kehidupan watak utama iaitu Khairul Azzam iaitu seorang mahasiswa Indonesia yang edang menuntut ilmu di Universiti Al-Azhar, Mesir. Filem ini telah memberi inspirasi kerana telah menonjolkan watak utama yang bekerja keras untuk menuntut ilmu sekali gus berjuang untuk keluarga iaitu ibu dan adik-adiknya di kampung bagi meneruskan kehidupan. Filem ini juga menuntun hati kerana melihat usaha serta perjuangan Khairul Azzam dalam soal jodohnya dengan tetap teguh pada ajaran agama Islam.


Hafalan Shalat Delisa (2011)

Filem yang diadaptasikan daripada novel yang berjudulkan yang sama iaitu hasil nukilan Tere Liye. Filem ini berlatarbelakangkan kawasan di Acheh, Indonesia.
Delisa merupakan gadis kecil yang periang dan tinggal di Lhok Nga iaitu sebuah kampung kecil di tepi pantai Acheh serta mempunyai kehidupan yang indah. Sebagai anak bongsu, Delisa amat rapat dengan ibunya yang dipanggil ummi memandangkan ayahnya bekerja di sebuah kapal tanker minyak internasional. Krisis filem ini bermula pada 26 Disember 2004 dimana Delisa bersama ibunya bersiap untuk belajar solat. Kemudian berlaku genpa bumi secara tiba-tiba yang mencetuskan tsunami dan menghentam kampung kecil mereka dan menggulung tubuh kecil Delisa serta ratusan ribu yang lain di Acheh. Delisa berjaya diselamatkan oleh seorang prajurit Angkatan Tentera AS. Tetapi sayangnya kaki kanan Delisa terpaksa dipotong kerana mengalami luka parah. Kemudian Delisa berjaya bertemu dengan ayahnya setelah sekian lama walaubagaimanapun kakak-kakaknya sudah bertemu Ilahi manakala ibunya masih belum ditemui. Delisa kembali bersemangat setelah mengalami kesedihan yang lama akibat daripada kehilangan. Ketika semua masyarakat Acheh sedang berputus asa, Delisa menjadi malaikat kecil yang membahagiakan masyarakat disitu.  Walaupun terasa berat, Delisa telah mengajar bagaimana kesedihan itu menjadi kekuatan untuk tetap bertahan. Delisa juha berusaha untuk memahami apa itu ikhlas dan mengharap tanpa apa-apa balasan.

No comments:

Post a Comment